Wednesday, January 7, 2015

Day 3 (7/12) Nagano to Nozawa Onsen

Semua berkumpul didepan hotel seawal jam 8 pagi dan bersedia untuk pergi ke Nozawa Onsen. Mengikut perancangan kami akan menaiki keretapi, menggunakan JR East Pass untuk pergi ke Nozawa Onsen. Cuaca memang agak sejuk dan hujan renyai-renyai. Masing-masing excited untuk bermain salji.

Terdapat dua pilihan hendak ke Nozawa Onsen, sama ada menaik bas, yang memakan masa kira-kira 75 minit atau menaiki JR Iiyama Line yang memakan masa hanya 1 jam hingga ke Togarinizawa Onsen. Kami mengambil peluang menggunakan JR East Pass dan menaiki train Nagano ke Nozawa Onsen.


 Sebaik keretapi bergerak meninggalkan bandar Nagano, tidak sampai 10 minit pemandangan luar sudah kian bertukar keputihan dan kawasan perkampungan mula diliputi salji. Pemandangan yang sangat unik dan membuatkan anak-anak melompat keriangan tidak sabar untuk bergolek diluar.

Sebaik sampai ke stesen perhentian, Togarinozawa Onsen, salji sedang turun dengan agak lebat dan persekitaran stesen dipenuhi dengan salji hingga sukar untuk berjalan. Oleh kerana persekitaran dipenuhi salji, pada mulanya kami tak pasti hendak kemana untuk meneruskan perjalanan ke Nozawaonsen.

Jika tidak nampak bas yang sedia menunggu di stesen berhampiran, pasti semua meneruskan aktiviti bergolek bermain salji ditepi landasan. Kami bergegas menuju ke tempat menunggu yang mana bas yang membawa kami ke Nozawaonsen dan sedia menuggu dan mengarahkan kami agar cepat2 menaiki bas. Tambang bas dewasa adalah 300 Yen.

Perjalanan seterusnya menaiki bas memakan  masa kira-kira 20 minit. Ketika kami sampai di Nozawaonsen, hampir keseluruhan kawasan dipenuhi salji tebal. Salji pun sedang turun dengan agak lebat. Bagi anak-anak yang bermain salji buat pertama kali, peluang ini tidak dilepaskan begitu saja. Pelbagai aksi dirakam tanpa menghiraukan keadaan cuaca dan penduduk yang lalu lalang. Oleh kerana cuaca agak sejuk, kami cuba mencari perlindungan untuk memanaskan badan. Sebahagian dari kami meneruskan perjalanan untuk mencari kawasan yang sesuai untuk bermain salji. Diberitahu oleh penduduk tempatan untuk menaiki kawasan bukit yang lebih sesuai untuk bermain salji

Setelah puas bermain salji, tiba masa untuk pulang memandangkan cuaca akan gelap menjelang jam 4 petang. Kami kemudiannya menaiki bas untuk pulang ke stesen keretapi Nozawa. Cuaca masih dihujani salji dan pemandu memandu bas dengan begitu berhati-hati. Sesampai di stesen keretapi, masing-masing mengambil kesempatan terakhir sebelum bergerak pulang ke Nagano. Tidak lama kemudian keretapi pun sampai dan kami bergerak pulang ke Nagano dengan seribu satu kenanagan yang pastinya tidak dapat dilupakan bagi anak-anak. Akhirnya tujuan utama ke Jepun untuk bermain salji telahpun tercapai.

Sampai kembali di Nagano kira-kira jam 3.30 petang, kami terus balik ke hotel memandangkan pakaian masing-masing dah basah akibat bermain salji. Bagi anak-anak mungkin masih tidak puas dan kalau boleh nak tinggal lebih lama di Nozawaonsen.

Jika mengikut perancangan asal memang nak stay di Nozawaonsen, memandangkan ia merupakan tarikan utama di Nagano dan terkenal antara kawasan resort ski yang terbaik. Namun oleh kerana kadar sewa bilik yang agak mahal, kami membuat keputusan menginap di Nagano yang menawarkan kadar sewa bilik yang agak murah berbanding Tokyo.

Tiada aktiviti khas diwaktu malam. Kami hanya mengunjungi pasaraya yang masih dibuka. Kebanyakan pasaraya di Nagano tutup seawal jam 7.30 malam.




No comments:

Post a Comment